Harapan seorang ayah
Kepada seorang cikgu
Dari jalan sempit
Kelikir berselut si tanah merah
Diayunkah langkah kaki penuh tekad
Dengan kudrat tersisa
Seorang ayah tua
Memimpin anak kecilnya
Yang terkekeh-kekeh riang
Nah cikgu, ini anak kecil ku.
Bimbinglah dia.
Bangkitkan rohaninya
Semaikan kecintaanya pada keagungan Sang Pencipta
Pada setiap hela nikmat nafas yang dipinjamkan padanya
Agar dia tahu, dia bukan pemilik mutlak akan dirinya
Bangunkan pohon-pohon emosinya
Putikkan segala perasaan dalam aliran darah tubuhnya
Biar dia sedar, hidup bukan sekecil rumahnya
Nanti,
dia tahu berjuta orang
zarah-zarah udara harus dia berkongsi
Cikgu ,
Jangan juga lupa.
Tolong aku,
Bangunkan segala urat-uratnya yang masih tidur
Kukuhkan dan ketatkan cengkaman sendi-sendinya
biar ada lebih
tenaganya melawan deduri tebasan
kukuhkan untaian fikirannya
yang masih terlalu rapuh di mindanya
penuhkan jiwanya dengan semua ilmu-ilmu
ajarlah dia,setiap langkah dalam kehidupan ini
adanya ironi
ajar dia melengkapi setiap persegi hidupnya
dengan senjata dan perisai terpilih
untuk seorang manusia
yang perlu menjadi manusia
aku mahu dia menjadi manusia
bersifat manusia
kerana aku, ayah tuanya
mungkin tidak selayakknya
memberikan semua itu
secukupnya untuk dia.
Asli dari pena,
Kay Abdullah.
Sajak di atas adalah sajak pertama dari lima sajak yang saya perlu hasilkan untuk projek LDP (Latihan Dalam Perkhidmatan) yang wajib kepada semua staff dalam organisasi tempat saya bekerja. Dalam LDP ini terdapat 5 kategori yang boleh dipilih iaitu Kajian Tindakan, PBL (Project Base Learning), Book Review, Penulisan Ilmiah dan juga Penulisan Kreatif. Sajak termasuk dalam kategori Penulisan Kreatif.
Dalam penulisan Kreatif, semua penulisan sama ada cerpen, dairi, dan juga sajak mestilah bertemakan pendidikan. Ya, bukan mudah. Saya memang sangat suka menulis sajak, walaupun jarang saya kongsikan dalam blog ini, tetapi bila perlu menulis mengikut suatu tema yang tertentu, saya sendiri mengeluh dan untuk menghasilkan sajak di atas saya telah mengambil masa hampir seminggu untuk menyiapkannya. Tambah-tambah susah lagi, saya bukannya guru Bahasa Melayu ataupun Kesusasteraan Melayu. Tapi, cabaran perlulah disahut.
Idea yang ingin saya sampaikan melalui sajak tersebut ialah tentang REJI (Rohani, Emosi, Jasmani dan Intelek) iaitu item penting dalam pembentukkan modal insan yang seimbang selaras dalam penyataan FPK (Falsafah Pendidikan Kebangsaaan). Baik, pembentukkan modal insan itu biasanya bermula di rumah tetapi bukan semua ibu bapa yang mampu memberikan segala-galanya, jadi kewujudan institusi yang dipanggil sekolah boleh membantu ibu bapa untuk mendidik anak-anak mereka seterusnya merealisasikan hasrat negara dalam menghasilkan pelapis bangsa yang seimbang REJInya.
Untuk semua kawan-kawan blog dan juga pelawat blog TULUS DARI HATI ini, sudi-sudilah komen sajak ini ya. Mana tahu ada penambahbaikan dari segi gaya bahasanya. Terima kasih.
SELAMAT MENEMPUH MINGGU BARU
6 comments: