Monday, April 18, 2011

"saya hilang pengelihatan mata kiri sewaktu berumur 6 tahun"

Cerita ini agak panjang..baca sampai habis ya..:)


Pada suatu masa dahulu, ada seorang kanak-kanak comel yang sangat cintakan sekolah. Bagi kanak-kanak tersebut, sekolah merupakan suatu tempat yang indah seperti taman permainan yang penuh dengan bunga-bunga indah dan juga rakan-rakan lain yang comel sepertinya. Walaupun ke sekolah tanpa berkasut mewah dan kadang-kadang berkaki ayam, dia tetap akan berjalan gagah dan perkasa menuruti langkah 2 orang kakaknya serta rakan yang lain.

"Jangan main di padang tau, ada traktor memotong rumput hari ini". Pesan si Kakak yang tua kepada kanak-kanak kecil itu
"Ya." Jawab si kanak-kanak kecil sambil membetulkan ikatan rambutnya yang betul-betul tegak di atas kepalanya dan kelihatannya seperti pokok kelapa dan serta itu dia menjeling kepada traktor pemotong rumput yang sedang dipandu memasuki kawasan sekolah.


Setelah memasuki kelas, seperti biasa kawan baik si kanak-kanak comel terus menarik-narik lembut rambutnya yang sering diusik oleh kawan tesebut sebagai payung kecil. Tidak beberapa lama kemudian, satu pengumuman melarang semua pelajar bermain berdekatan padang sekolah kedengaran. Si kanak-kanak kecil memandang kepada traktor tersebut dan mengambil tempat duduknya yang berada di tengah kelas darjah 1 itu. Suasana sedikit bising kerana lonceng baru sahaja dibunyikan dan guru mungkin dalam perjalanan ke kelas masing-masing. Menyedari dia belum mengeluarkan alat tulis untuk kelas pertama iaitu Bahasa Melayu, si kanak-kanak kecil tunduk memeriksa begnya dan tiba-tiba.......

"Aduhh....mata saya sakit!!!." Itu suara si kanak-kanak kecil. Kawan rapatnya terus berlari mendekati dia
"Kenapa Cath?"
"Mata saya kena batu". Dan si kanak-kanak kecil tidak sedar apa yang berlaku seterusnya. Dia pengsan kerana kesakitan. Apabila sedar, si kanak-kanak kecil mendapati dirinya berada di klinik desa Pekan Lama dan sedang diperiksa oleh doktor. Doktor itu memberikan rawatan percuma dan turut memberikan ubat penitis mata kepadanya

Kerana kurang pengetahuan atau juga masalah kewangan, keluarga kanak-kanak kecil tidak membawa dia mendapatkan rawatan ke hospital pakar mata. Keluarganya tidak tahu bahawa luka yang terdapat pada mata kiri anak comel mereka itu akhirnya membawa kepada kesan buta selamanya.

Dan kini sudah 26 tahun berlalu. Mata sebelah kiri si kanak-kanak comel itu buta dan bila terlalu penat, pengelihatannya akan menjadi sedikit juling. Tidak banyak orang yang menyedari akan kecacatannya sampailah dia sendiri akan memberitahu mereka.

Namun si kanak-kanak comel amat bersyukur, dengan pengelihatan sebelah mata dia masih boleh bersaing dengan semua orang. Pada mulanya dia  sering merasa rendah diri (sering diejek mempunyai mata juling) tapi kini semua perasaan itu seakan lenyap. Malah dia  tidak menyalahkan sesiapa dengan peristiwa yang berlaku pada dirinya, kerana dia sangat percaya pada TakdirNya.

Dan, sayalah si kanak-kanak comel itu..(^_^)

Peristiwa ini berlaku sewaktu saya  berumur 6 tahun. Waktu itu belum ada kelas tadika tetapi ibu-bapa digalakkan untuk menghantar anak yang berumur 6 tahun ke sekolah sebagai cara memberikan pendidikan awal kepada anak-anak tersebut. Padang sekolah saya waktu itu banyak batu dan kemungkinan besar sewaktu traktor rumput memotong rumput padang, batu-batu pun terpotong dan serpihannya terpelanting jauh dan masuk ke dalam mata kiri saya.

cerita ini saya petik semula dari blog lama saya.

12 comments: